Upacara Meletakkan Kalungan Bunga di Tugu Peringatan Brunei-Australia





Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Mohammad Hasif Matzin





MUARA, Selasa, 14 April. - Perdana Menteri Australia, The Honourable Anthony Albanese MP memulakan Lawatan Kerja ke Negara Brunei Darussalam dengan Upacara Meletakkan Kalungan Bunga di Tugu Peringatan Brunei-Australia di Pantai Muara sebagai penghormatan kepada jasa dan pengorbanan tentera Australia dan pihak bersekutu semasa Perang Dunia Kedua.


Ketibaan Perdana Menteri Australia di Pantai Muara dialu-alukan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof dan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan.


Acara dimulakan dengan meletakkan kalungan bunga oleh Perdana Menteri Australia bersama Menteri Hal Ehwal Luar Australia, Senator the Honourable Penny Wong; Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II serta Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad selaku Menteri Pengiring.


Acara diteruskan dengan 'A Moment of Silence' dan seterusnya bergambar ramai.


Tugu Peringatan Brunei-Australia memperingati 127 orang askar Australia yang terkorban di Teluk Brunei semasa kempen ketenteraan pihak bersekutu yang membebaskan Borneo pada bulan-bulan terakhir Perang Dunia Kedua.


Tugu peringatan perang tersebut terletak di lokasi pendaratan askar Australia di Pantai Muara pada 10 Jun 1945.


Lawatan ini menekankan usaha Kerajaan Australia untuk bekerjasama dengan rakan serantau bagi mengekalkan aliran dua hala bekalan tenaga, baja serta barangan penting yang lain.


Turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Michael Hoy dan Penasihat Pertahanan Australia ke NBD, Leftenan Kolonel Paul Michael Sanderson.


Close